MELAKA – Lebih 130 pengusaha rumah inap desa di negeri ini ‘senyum sampai ke telinga’ apabila premis masing-masing telah penuh ditempah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi Rumah Inap Desa Melaka, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, tempahan itu telah penuh sejak minggu lalu dengan kebanyakan diterima daripada jentera parti politik yang bertanding dalam PRN kali ini.
“Walaupun rakyat Melaka bimbang pelaksanaan PRN akan mencetuskan gelombang baharu Covid-19, namun tidak dapat dinafikan proses demokrasi itu bagaimanapun menjadi pembuka pintu rezeki buat pengusaha inap desa.
“Alhamdulillah, sejak minggu lalu sebanyak 135 rumah inap desa yang berdaftar di bawah persatuan telah penuh ditempah sehingga 20 November iaitu hari pengundian dengan kebanyakan pelanggan merupakan jentera parti politik,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Akramuddin berkata, sebelum ini kebanyakan rumah inap desa hanya mencapai kapasiti penuh 40 peratus walaupun pada cuti hujung minggu.
“Pada hari biasa sebelum ini, banyak rumah inap yang kosong kerana kebanyakan pelancong akan membuat tempahan di hotel-hotel untuk lawatan yang singkat bersama ahli keluarga.
“Namun disebabkan pelaksanaan PRN, banyak jentera parti yang datang dan memilih rumah inap desa kerana ia lebih jimat bagi penginapan selama hampir dua minggu serta boleh memuatkan lebih ramai orang,” katanya.
Tambahnya, rata-rata harga semalam bagi rumah inap desa adalah sekitar RM120 dan boleh memuatkan kira-kira 10 individu dalam setiap rumah.
Katanya, kesemua rumah inap desa itu membabitkan penginapan di sembilan buah kampung di seluruh negeri ini yang diusahakan oleh ahli yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). -K! ONLINE