PETALING JAYA – Sejak akhir-akhir ini, data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan kes harian Covid-19 di negara ini tidak menentu apabila merekodkan 5,000 hingga RM6,000 sehari.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 juga kembali meningkat kepada 1.0 pada kelmarin.
Situasi itu meresahkan ramai pihak lebih-lebih lagi selepas kelonggaran rentas negeri dibenarkan kepada orang ramai pada 11 Oktober lepas.
Perkara sama turut dirasai pelakon Diana Danielle yang meluahkan rasa bimbang dengan perkembangan semasa kes jangkitan Covid-19 ketika ini.
Kata pelakon berusia 30 tahun itu, sekiranya enggan melalui fasa berkurung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai harus memainkan peranan penting dalam mengekang penularan Covid-19.
“Kes Covid-19 sudah naik semula. Kita tak nak lockdown lagi kan? Pakai pelitup muka dua lapisan dan tolong jaga prosedur operasi standard (SOP).
“Bukan semua orang bertuah dan mampu duduk di rumah lama-lama. Kita jaga kita, terus saling ingat-mengingati okey,” tulisnya dalam perkongsian di
Instagramnya semalam.
Kes harian Covid-19 dilaporkan kembali meningkat apabila ramai yang mula tidak menjaga SOP selepas rakyat dibenarkan bebas merentas negeri dan melakukan aktiviti sosial sejak sebulan lalu.
Beberapa negeri misalnya Kelantan dan Selangor mencatatkan peningkatan kes selain bilangan kemasukan pesakit ke hospital juga bertambah. -K! ONLINE