fbpx

Suami terlantar, kerap muntah teruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL ATIKAH menguruskan suaminya yang terlantar akibat strok di rumah ibunya di Kampung Parit Panjang, Baling baru-baru ini.

BALING – Seorang suri rumah dari Kampung Parit Panjang di sini tabah menghadapi ujian dalam keadaan serba kekura­ngan apabila perlu menguruskan suaminya yang lumpuh akibat strok sejak dua tahun lalu.

Nurul Atikah Abdullah, 44, berkata, suaminya, Zulkifli Mohd Daud, 54, kini hanya mampu terlantar kerana penyakit tersebut selain kerap mengalami muntah yang teruk.

Katanya, dia bersama suami serta lapan anak berusia antara 10 hingga 25 tahun ketia ini me­numpang di rumah ibunya.

“Sebelum ini saya dan suami berniaga ikan di merata tempat sebelum suami jatuh sakit apabila mengalami kebas di bahagian kiri badan serta kerap muntah sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

“Sejak kejadian itu, suami ha­nya terlantar di atas katil ke­rana bahagian kiri badannya tidak boleh bergerak. Dia juga tidak boleh makan nasi dan makanan lain kecuali susu kerana akan muntah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Nurul Atikah, suaminya kini hanya bergantung kepada minuman susu untuk mengisi perut dengan perbelanjaan lebih RM400 sebulan.

“Ia tidak termasuk perbelanjaan lain seperti lampin pakai buang, ubat-ubatan dan kos ke Hospital Daerah Baling dan HSAH yang melebihi RM1,000 sebulan,” ujarnya.

Nurul Atikah memberitahu, mereka menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 dan bantuan zakat RM300 sebulan, namun semua­nya digunakan untuk keperluan suami.

“Kami juga sudah puas ber­usaha pelbagai cara untuk ber­ubat bagi memulihkan penyakit suami tetapi keadaannya tetap tidak berubah,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, dia ada menerima sebuah rumah tiga bilik di tanah wakaf, namun masih belum boleh diduduki ke­rana perlu menambah beberapa bahagian terutamanya di bahagian hadapan untuk menghalang tempias air hujan.

“Keadaan bilik air juga perlu disesuaikan dengan keadaan suami yang terlantar selain memerlukan tangki air tambahan sebagai persediaan ketika bekalan air terputus,” katanya.

Tambahnya, dia memerlukan kos sebanyak RM20,000 untuk membina tambahan struktur rumah dan membeli peralatan lain bagi memudahkan penjagaan suaminya.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Nurul Atikah di talian 017-235 1946. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI