JOHOR BAHRU – Perang mulut antara pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghangatkan lagi pertemuan suku akhir Piala Malaysia antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan JDT pada malam ini.
Isu bermula apabila Tunku Mahkota Johor itu memperkatakan tentang isu tunggakan gaji membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang dilaporkan sudah tertunggak selama dua bulan.
Tunku Ismail menempelak pengurusan KDA yang didakwa tidak serius menguruskan kebajikan pemain setelah tunggakan itu diselesaikan apabila hendak berdepan JDT.
“Bila nak lawan JDT sahaja ke baru nak bayar gaji? Sampai bila nak perangai macam ni? Kepala pistol,” tulis Tunku Ismail.
Teguran pedas Tunku Ismail itu tidak disenangi Sanusi yang akhirnya memberi maklum balas menerusi laman media sosial rasmi Facebook miliknya.
Susulan komen itu, Sanusi tampil memberi penjelasan bahawa pihaknya baru sahaja menyelesaikan tunggakan gaji pemain Kedah.
“La ni bulan sebelas dah. Bulan satu sampai bulan sepuluh kena lawan JDT tiap-tiap bulan kaaa? Apa punya peluru kapoq tala ikut suka dia,” tulis Sanusi.
Sebelum ini, heboh diperkatakan mengenai tunggakan gaji membabitkan pemain KDA yang didakwa tidak dibayar selama dua bulan.
Bagaimanapun, Skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak akhirnya mendapat perkhabaran gembira menjelang aksi menentang JDT dalam aksi suku akhir Piala Malaysia apabila pengurusan KDA sudah menjelaskan tunggakan tersebut.-K! ONLINE