PETALING JAYA – Sebut sahaja bekas makanan atau tupperware umum tahu ia adalah milik ibu-ibu atau para isteri dan akan menjaganya sepenuh hati.
Menerusi satu perkongsian gambar yang dimuat naik @NabilHussein di Twitter, dia berdepan detik cemas apabila penutup bekas makanan itu rosak atau berlubang.
“Mohon sedekahkan al-Fatihah kepada aku,” ciapnya di Twitter.
Rata-rata orang ramai memberi pelbagai reaksi yang mencuit hati di atas ‘kemalangan’ itu.
“Nampak gayanya kena menahan telinga sikit lah, lagi-lagi yang ada nama dekat atas penutup itu,” kata @lembahkesepiann.
“Kalau kena halau rumah ‘roger’ bro, nanti aku bawakan makanan,” jelas @frsirfn98.
Sementara itu, Nabil Abdullah mencadangkan individu itu untuk mencuba nasib di syarikat Tupperware untuk menggantikan penutup yang berlubang itu.
“Cuba pergi Tupperware punya pejabat, beli penutup itu di sana. Kalau patah ada ‘warranty’ seumur hidup.
“Kalau kecuaian sendiri memang kena beli, boleh beli kalau penutup sahaja, jangan beli dengan ejen sebab diorang tiada simpanan untuk tukar-tukar ini. Tahun ini, tidak berapa pasti polisinya bagaimana tetapi tidak salah untuk mencuba,” katanya. – K! ONLINE.