fbpx

Peniaga tawar produk buatan tempatan berkualiti tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAIMAH (kanan) bersama dua lagi pengusaha coklat di Pulau Langkawi.

LANGKAWI – Kalangan peniaga menaruh harapan tinggi agar produk buatan tempatan menjadi pilihan pelancong ketika berbelanja di Pulau Langkawi.

Pengusaha coklat, Naimah Natzeri dari Kampung Temonyong di sini berkata, produk coklat yang diusahakan secara aktif oleh kira-kira lima pengusaha terdiri daripada penduduk tempatan setanding dengan produk luar negara.

“Alhamdulillah pelanggan berpuas hati dengan rasa coklat buatan penduduk pulau ini dan mereka beritahu ia setanding dengan coklat import yang banyak dijual di sini.

“Sehubungan itu, saya berharap pelancong tempatan dan luar negara memberi sokongan kepada kami dengan membeli produk Pulau Langkawi dan membawa pulang ke negeri atau negara masing-masing,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia 2021 di Dataran Pantai Chenang di sini semalam.

Seramai 20 usahawan tempatan menyertai Karnival Jualan Beli Barangan Malaysia sempena majlis berkenaan.

Katanya, dia menyertai kursus pembuatan produk makanan berasaskan coklat oleh Lembaga Koko Malaysia pada tahun lalu selepas perniagaan inap desa terjejas susulan penutupan sektor pelancongan akibat Covid-19.

“Saya akan teruskan perniagaan coklat jenama Minachoc menerusi syarikat Minamooq Empire ini di samping menawarkan perkhidmatan inap desa. Ini pun saya baru bangkit semula selepas sektor pelancongan Langkawi rancak semula sejak rentas negeri dibenarkan,” jelasnya.

Tambahnya, dua lagi pengusaha yang menyertai kempen tersebut ialah Hanz Choco Crunchy Enterprise menawarkan choco jar jenama Han’z Choco Crunchy serta Idaman Makmur Resourcers dengan produk bar coklat dengan jenama Idaman.

Pengusaha produk makanan sedia untuk dimakan, Nur Hafilah Abdul Talib berkata, dia menawarkan beberapa menu makanan dalam pek seperti sambal ikan tongkol, sambal udang, rendang daging, paru berlada dan sambal sotong dengan jenama Makk Minah.

“Saya berharap produk makanan jenama Makk Minah ini diterima baik dalam kalangan pelancong termasuk dari luar negara,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI