PETALING JAYA – Satu video tular di media sosial memaparkan keadaan bilik hotel yang ditinggalkan pelanggan dalam keadaan kotor kini menjadi bualan hangat orang ramai.
Menerusi perkongsian Miera Nadhirah di laman Facebook, video berdurasi 37 saat itu menunjukkan pekerja hotel tersebut terkejut dan kecewa dengan sikap pelanggan yang meninggalkan bilik itu dalam keadaan penuh sampah.
“Lagi satu kes bagaimana kita memperlambatkan kerja ‘housekeeping’, bila kita ‘celebrate’ kat hotel dan tak tolong kemaskan selepas itu.
“Memang ramai dari kita suka ‘celebrate’ hari jadi atau ‘surprise’ orang tersayang dekat hotel tetapi lepas itu cuba ringankan beban kerja ‘housekeeping’ dengan membersih sedikit,” tulisnya di Facebook.
Tambahnya, jika tidak ia akan melambatkan kerja-kerja pembersihan bilik hotel dilakukan.
“Kalau bilik lambat siap, meroyan pula, marilah kita cuba meringankan beban dan menolong menyenangkan kerja orang semampu boleh,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata orang ramai berang dan mengecam tindakan pelanggan yang tidak bertanggungjawab itu.
“Betul, kesian ‘room cleaner’ dan sangat menyusahkan diorang,” kata Puteri Idayu Raja Samsudin.
“Mentaliti duit aku, aku dah bayar suka hati aku lah. Menyusahkan orang sahaja. Bertabahalah ya ‘team’ ‘housekeeping’,” kata Nur Syazana.
Sementara itu, Daniel Mikael memberitahu dia berasa malu jika meninggalkan bilik hotel yang ditempahnya dalam keadaan bersepah dan akan mengemasnya sebelum keluar. – K! ONLINE.