fbpx

Melaka tampil aksi konsisten benam Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sony Norde (kiri) menjadi wira Melaka United apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan bagi membawa pulang bekalan satu gol di tempat lawan.- Gambar FB Melaka United Football Club

MELAKA United memastikan penyokong mereka dapat melakar senyuman apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sabah pada pertemuan pertama suku akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Bagaimanapun, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu sepatutnya pulang dengan jaringan lebih besar memandangkan mereka mendominasi sebahagian besar permainan selain mencipta deretan peluang pada perlawanan tersebut.

Meskipun sekadar menang 1-0, namun itu sudah memadai buat Melaka untuk membawa pulang bekalan satu gol di tempat lawan menjelang aksi timbal balik di Stadium Hang Jebat Khamis ini.

Pada perlawanan itu, Melaka bermula baik apabila menguasai aksi separuh masa pertama dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah pintu gol tuan rumah menerusi gandingan Sony Norde dan Giovane Gomes.

Skuad Sang Kancil itu beberapa kali hampir untuk membuka tirai jaringan, namun percubaan-percubaan yang dilakukan jentera serangan mereka tidak menemui sasaran selain dinafikan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Selain itu, Sabah juga sesekali melancarkan serangan menerusi gerakan-gerakan yang diketuai penyerang, Mohd. Amri Yahyah, namun tidak mampu menguji kecekapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sebelum separuh masa pertama berakhir 0-0.

Bersambung separuh masa kedua, penyerang Sabah, Alto Linus hampir sahaja menjaringkan gol pertama permainan pada minit ke-47, namun sepakan lencong yang dilakukan sedikit melepasi tiang gol.

Empat minit berselang, Norde akhirnya memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol kemenangan selepas percubaan yang dilakukan tertampan kaki pemain pertahanan Sabah sebelum menerjah gawang.

Gol tersebut nyata membuatkan pasukan tuan rumah tersentak, sekali gus meningkatkan tempo permainan sebelum melakukan asakan bertubi-tubi ke arah pintu gol Melaka ketika perlawanan berbaki 15 minit.

Sabah memiliki beberapa peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan, namun barisan pertahanan Melaka lebih bersedia bagi menghalang pintu gol mereka dari dibolosi.

Ketika Sabah dilihat terdesak memburu gol penyamaan, pemain-pemain Melaka cuba melengah-lengahkan masa dan tindakan yang dilakukan membuahkan hasil apabila keputusan 1-0 kekal hingga tamat permainan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI