LONDON – Legenda Manchester United, Roy Keane membidas pemain pertahanan England, Harry Maguire ketika pasukan itu membelasah Albania 5-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Wembley awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Maguire dan Jordan Henderson masing-masing menjaringkan satu gol sementara penyerang, Harry Kane tampil cemerlang apabila meledak hatrik.
Bagaimanapun, Keane berang apabila Maguire bertindak meraikan gol dengan meletakkan kedua-dua tangan di telinganya seolah-olah menyindir pihak yang kuat mengkritik ekoran prestasinya bersama Manchester United.
Kata beliau, Maguire yang juga kapten United tidak layak untuk meraikan jaringannya seperti itu memandangkan dia menampilkan aksi cukup memalukan bersama kelabnya itu musim ini.
“Apabila seseorang pemain menjaringkan gol dan meletakkan tangan di telinga, ia seolah-olah sebagai simbol untuk menutup mulut pengkritik. Bagi saya, aksinya itu sangat memalukan.
“Dia (Maguire) menampilkan aksi hambar bersama United sebelum ini. Selepas jaringkan gol bersama England, dia fikir sudah mampu untuk tutup mulut pengkritik. Sangat memalukan,” ujar Keane.
Dalam 13 penampilan bersama United musim ini, Maguire yang juga pemain pertahanan termahal dunia melakukan tiga kesilapan sehingga mengundang bahaya kepada pintu gol pasukannya. – AGENSI