TAMPIN – Seorang peneroka dikejutkan dengan penemuan bom lama di kawasan kebun getahnya
ketika kerja-kerja pembersihan pokok getahnya yang ditebang di Blok 4, Jelai 1, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, pihak polis menerima maklumat dari peneroka berusia 45 tahun itu kira-kira pukul 5 petang dan segera ke lokasi kejadian bagi mengenalpasti lokasi bom ditemui berkenaan.
Menurutnya, sebagai langkah awal, polis telah memasang tali rintangan polis selepas mendapat pengesahan objek yang ditemui adalah bom bagi menghalang orang awam dari memasuki lokasi berkenaan.
“Jenis bom yang ditemui adalah ‘artillery shell’ berukuran kira-kira 20 sentimeter dan dipercayai merupakan bom peninggalan perang dunia kedua.
“Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan telah berjaya memusnahkan bom berkenaan dengan selamat di kawasan kebun berkenaan kira-kira pukul 9 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi. -K! ONLINE.