fbpx

Dua sindiket tumpas, dadah 35 kg RM1.1 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan mengadakan sidang akhbar berhubung rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1.1 juta di IPK Johor, Johor Bahru, Johor hari ini. -Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Polis Johor menumpaskan dua sindiket dadah dalam tempoh dua hari dengan merampas kira-kira 35 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis berjumlah lebih RM1.1 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru, minggu lalu.

Hasil risikan selama sebulan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah melakukan serbuan dengan menahan lima orang dalang sindiket dadah berkenaan termasuk pasangan suami isteri.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi pertama, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 39 dan 49 tahun di dalam sebuah kenderaan kira-kira 3 petang berhampiran kedai makan di Kota Tinggi, Selasa lalu

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan utiliti sukan jenis Honda CRV menemukan 14.5kg ganja bernilai RM36,392 yang berada di dalam bonet kenderaan tersebut.

“Modus operandi sindiket dadah ini adalah dengan menyeludup dadah ke negara jiran melalui jalan laut. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak awal Julai lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Susulan penahanan itu, polis turut menyita kenderaan berkenaan, motosikal jenis Yamaha LC135, wang tunai RM564 dan SGD279 (RM856).

Ayob Khan berkata, hasil saringan urin mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

Katanya, warga Indonesia terbabit ketika ditemui tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan disyaki sudah berada di negara ini secara haram sejak lima tahun lalu.

“Dalam operasi berasingan, kita melancarkan dua serbuan dalam operasi khas antara 9 pagi hingga 3 petang di sekitar Johor Bahru, Rabu lalu.

“Dalam serbuan pertama, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun telah ditangkap bersama sejumlah rampasan dadah jenis serbuk ekstasi dan ketamin. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Susulan daripada serbuan tersebut, Ayob Khan berkata, polis telah membuat tangkapan terhadap pasangan suami isteri berusia 53 dan 59 tahun.

Katanya, hasil saringan urin mendapati seorang suspek positif dadah jenis ketamin dan semakan rekod mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Modus operandi sindiket dadah yang beroperasi sejak Ogos lalu adalah dengan menyewa pangsapuri berpagar dan berpengawal yang dijadikan stor pembungkusan dadah untuk aktiviti ‘private party’ dan pusat hiburan di sekitar Johor Bahru,” ujarnya.

Hasil tangkapan itu, polis merampas 21.18kg serbuk ekstasi, 78.6 gram (g) ketamin, 1.8g syabu, 90 pil ekstasi dan 170 pil eramin 5.

Polis turut merampas sebuah kereta mewah BMW dan merampas wang tunai RM3,495.

-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI