fbpx

50 pendaki tanpa permit ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEGAWAI PHDHS memeriksa pendaki yang ditahan di HSK Semangko, Hulu Selangor semalam.

SHAH ALAM – Tindakan 50 individu mendaki Hutan Simpanan Kekal (HSK) Semangko, Hulu Selangor tanpa permit sah membawa padah apabila ditahan pihak berkuasa semalam.

Kesemua pendaki berusia 21 hingga 50 tahun itu dikesan menerusi operasi khas penguatkuasaan dijalankan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) bermula kira-kira pukul 8 pagi.

Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, operasi di laluan pendakian Gunung Gap HSK itu dijalankan hasil maklumat awam mengenai aktiviti pendakian besar-besaran yang dianjurkan individu persendirian tanpa pengetahuan pihaknya.

“Semakan dibuat ke atas semua pendaki berdasarkan data permit sah yang diperoleh daripada Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor (PHDHS).

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 50 individu atas kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ahmad Fadzil, operasi yang disertai sepasukan 19 pegawai PHDHS dan dua anggota polis dari Balai Polis Kuala Kubu Bharu itu berakhir kira-kira pukul 6 petang.

“Semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kesalahan memasuki HSK tanpa permit sah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan),” tegasnya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI