LUMUT – Tiga nelayan dilaporkan hilang apabila bot yang dinaiki mereka karam di sekitar perairan Pulau Talang, dekat Pantai Remis malam tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kesemua mangsa merupakan warga tempatan berumur 29 sehingga 70 tahun.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan melibatkan bot Perkasa 1223 dan Kilat 11 ke lokasi sebaik menerima maklumat pada pukul 9 malam tadi.
“Menurut laporan yang diterima, salah seorang mangsa sempat membuat panggilan telefon kepada isteri dan memaklumkan keadaan bot dinaiki hampir karam.
“Bagaimana pun, sehingga pukul 12 tengah hari tadi bot nelayan yang berpangkalan di jeti Pantai Remis itu masih gagal ditemui,” ujarnya di sini.
Jelasnya lagi, sektor pencarian SAR kini diperluaskan sehingga 42.30 batu nautika persegi dari lokasi bot tersebut dipercayai karam.
Maklumat kehilangan bot itu turut disalurkan kepada Markas Pemerintahan Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, dan ‘Maritime Component Operation Comander’ (MCOC).
Jelas Shahrizan, keadaan laut yang bergelora dengan ketinggian ombak antara satu hingga 2.7 meter serta cuaca yang tidak menentu menyukarkan operasi SAR.
“Operasi akan diteruskan sehingga pukul 7.30 malam dan akan bersambung esok mulai pukul 7 pagi, sekiranya mangsa masih tidak ditemui,” ujarnya. – K! ONLINE.