JAKARTA – Sepasang pengantin menjadi tular di aplikasi TikTok baru-baru ini kerana melangsungkan majlis perkahwinan secara separa maya, lapor laman berita Suara.com.
Menerusi video yang dimuat naik pemilik akaun dengan nama @urfantasyhusband itu, acara perkahwinan yang berlangsung hanya dihadiri oleh pengantin perempuan, manakala gambar pengantin lelaki hanya dipaparkan menerusi sebuah skrin besar.
Kedua-dua mereka bagaimanapun tetap merakam gambar perkahwinan seolah-olah sedang bersanding bersama-sama.
Menerusi ruangan komen, pengantin lelaki dilaporkan tidak dapat hadir ke majlis persandingannya kerana sedang berada di luar negara dan tidak boleh pulang ke Indonesia.
Netizen yang menonton video tersebut kemudian meninggalkan pelbagai komen.
“Adakah ia sah?” tanya seorang netizen.
“Mengapa tidak ditunggu sahaja sehingga pengantin lelakinya pulang? Kelihatan seperti ‘main-main’ pula,” komen netizen lain.
Pemilik video itu kemudiannya menjelaskan bahawa pernikahan itu adalah sah seperti yang boleh dilihat pada satu video akad nikah yang lain.
Menurutnya, pernikahan itu diteruskan kerana mereka tidak pasti bila pengantin lelaki boleh pulang ke Indonesia disebabkan Covid-19. – AGENSI