SETIU – Seorang anggota tentera hiba memangku mayat anak lelakinya berusia 10 tahun yang maut dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Bukit Putera di sini kelmarin.
Muhammad Adif Danial Azman, 10, yang juga anak kedua Azman Awang@Setapa, 44, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di beberapa anggota badan dalam kemalangan pada pukul 7.10 malam itu.
Insiden yang melibatkan kereta Proton Wira dan sebuah basikal elektrik itu turut mengorbankan seorang pejalan kaki, Azuka Muhamad, 46, manakala seorang lagi mangsa, Ahmad Syahiran Saiful Razali, 13, yang juga sepupu Muhammad Adif Danial dilaporkan cedera parah.
Azman berkata, sebelum kejadian, anaknya dan Ahmad Syahiran dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki basikal elektrik.
“Anak saya dan sepupunya baru lepas menyaksikan perlawanan bola sepak di padang berhampiran rumah kami.
“Basikal elektrik dinaiki mereka dikatakan telah dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi yang terbabas,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pekarangan Rumah Mayat Hospital Setiu di sini semalam.
Bercerita lanjut, Azman berkata, dia segera keluar rumah apabila mendengar bunyi dentuman kuat, namun tidak menyangka insiden berkenaan melibatkan Muhammad Adif Danial yang merupakan anak kedua daripada lima beradik.
Tambahnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia hiba dan sekadar mampu terduduk memangku anaknya yang juga murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Bukit Putera yang sudah tidak bernyawa.
“Saya juga risau emosi isteri saya yang baharu 22 hari melahirkan anak kelima kami,” katanya yang memohon gambar peribadi keluarga tidak dirakam demi menjaga hati isterinya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada sebuah kereta Perodua Myvi yang tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Kereta itu kemudiannya merempuh basikal elektrik yang sedang dinaiki Muhammad Adif Danial dan sepupunya, Ahmad Syahiran serta sebuah kereta Proton Wira.
“Impak rempuhan itu menyebabkan kereta Proton Wira terbabas sebelum merempuh Azuka yang sedang berjalan kaki,” katanya ketika dihubungi.
Affandi berkata, mayat Azuka dan Muhammad Adif Danial telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat.
Tambah beliau, Ahmad Syahiran Saiful yang cedera parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -K! ONLINE