RIYADH – Kerja-kerja pembasmian kuman dan pensterilan di Masjidil Haram dijalankan 10 kali sehari bagi memastikan jemaah haji dan pengunjung dapat beribadah dalam keadaan yang selamat, lapor akhbar Arab News semalam.
Menurut laporan, seramai 4,000 pekerja lelaki dan wanita diarah menjalankan operasi pembersihan yang diawasi oleh 200 pekerja kanan.
Sepanjang bulan lalu mengikut kalendar Islam, 300 operasi mencuci dan membasmi kuman telah dijalankan di Masjidil Haram termasuk di sekitarnya yang menggunakan 2.4 juta liter produk pembasmi dan pembersihan kuman berkualiti tinggi.
Masjid suci itu turut diharumkan dengan 45,000 liter pewangi dan 100 alat penyembur wangian yang dipasang di dalamnya.
Selain itu, sebanyak 500 peralatan digunakan semasa operasi pembersihan dan setiap operasi mengambil masa 25 minit untuk memastikan jemaah tidak diganggu. – Agensi