SEBERANG PERAI – Situasi jangkitan virus Covid-19 di negeri ini dalam keadaan terkawal biarpun beberapa negeri menunjukkan lonjakan kes ketika ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tiada kenaikan mendadak yang direkodkan pihaknya di fasiliti-fasiliti perubatan seluruh negeri, bahkan angkanya semakin berkurangan.
“Kadar kematian, kemasukan pesakit, penggunaan katil wad biasa dan unit rawatan rapi (ICU) serta penggunaan ventilator mencatatkan penurunan, namun kita masih perlu berjaga-jaga.
“Kita semua perlu mengambil sikap bertanggungjawab mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak ini,” katanya kepada pemberita
selepas majlis penanaman pokok Cassia Siamea di Batu Kawan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, negeri ini bagaimanapun berdepan cabaran besar dalam mengubah minda dan meyakinkan rakyat untuk mengambil dos penggalak terutamanya bagi golongan sasar yang berisiko tinggi apabila 40 peratus tidak hadir janji temu yang ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera.
Beliau berkata, kekeliruan terhadap dos penggalak mungkin menjadi antara penyebab masyarakat mengabaikan temujanji yang telah dijadualkan. -K! ONLINE