KUALA LUMPUR – Pencapaian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) membuktikan usaha kerajaan untuk membendung penularan pandemik Covid-19 mula membuahkan hasil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan itu dipacu hasil berkat kerjasama semua pihak dan pelaksanaan strategi yang berkesan.
“PICK yang hingga kini berjaya memberi vaksin kepada lebih 95 peratus populasi dewasa dan lebih 66 peratus populasi remaja setakat 2 November lalu.
“Pencapaian ini merupakan game changer (pencetus perubahan) yang menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan ekonomi dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial termasuk pergerakan merentas negeri,” ujarnya ketika berucap pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara, hari ini.
Dalam pada itu, menurut beliau, bagi tujuan menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat, kerajaan juga telah menubuhkan Yayasan Keluarga Malaysia.
“Tujuan penubuhan Yayasan Keluarga
Malaysia ini ialah untuk membantu dan menyantuni anak-anak yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan anak-anak yatim serta yatim piatu yang lain.
“Kerajaan akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama,” katanya.
Jelasnya lagi, kerajaan juga telah mengorak langkah untuk mengeluarkan produk vaksin Malaysia yang berkualiti, berkesan dan selamat melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI). – K! ONLINE