MELAKA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberi limpahan rezeki buat seorang peniaga coconut shake apabila dia mampu mencatat jualan sebanyak 1,000 cawan air coconut shake pada hujung minggu di pantai Klebang di sini.
Noraidah Chek Lah, 40, berkata, sebelum ini dia hanya mampu menjual sekitar 300 hingga 500 cawan pada hujung minggu, namun sejak PRN, jualannya telah meningkat sekali ganda.
“Sebelum ini, kalau musim cuti sekolah pun tidaklah seramai ini dan jualan kami pada hujung minggu hanya mencecah kira-kira 500 cawan sahaja.
“Saya terkejut pada waktu PRN, orang ramai telah mula membanjiri kawasan pantai ini sebelum kami membuka kedai pada pukul 12 tengah hari.
“Selain pelancong, jentera parti politik antara yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Noraidah berkata, dia telah berniaga di kawasan berkenaan sejak 12 tahun lalu dan kini dibantu lima anaknya yang berusia antara 21 sehingga lapan tahun.
Jelasnya, dia menjual air coconut shake itu pada harga RM4 secawan.
Tambahnya, dia berharap jumlah pengunjung di lokasi tersebut akan terus meningkat walaupun selepas selesai proses pelaksanaan PRN.
“Selepas terpaksa buka dan tutup kedai beberapa kali akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu, kami memang sangat bersyukur dengan rezeki yang ada pada hari ini,” luahnya. -K! ONLINE