SHAH ALAM – Tapak pesta ria atau ‘fun fair’ berhampiran Aeon Jusco Cheras Selatan, Balakong yang mengakibatkan seorang pengunjung maut selepas terjatuh dari buaian berpusing diarah menghentikan operasi dan ditutup sepenuhnya.
Arahan itu dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi menjalankan siasatan terperinci mengenai insiden berkenaan, Rabu lalu.
Pengarah JKKP Selangor, Bahrudin Mamat berkata, pihaknya sudah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati dua mangsa terjatuh setinggi kira-kira lapan meter dari buaian berkenaan pada pukul 11.15 malam.
“Susulan itu, kita mengeluarkan lima Pemberitahuan Larangan mengikut Seksyen 19 (2) Akta Kilang Dan Jentera 1967 bagi menghentikan operasi ke atas lima unit alat permainan.
“Satu Notis Larangan mengikut Seksyen 48 (2) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 turut dikeluarkan atas kegagalan pihak operator menjalankan penaksiran risiko bagi semua aktiviti di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Bahrudin, operator mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti dan bertanggungjawab meneliti terlebih dulu bahaya dengan membuat penilaian risiko sebelum menjalankan operasi.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pengunjung maut manakala seorang lagi cedera selepas dipercayai terjatuh dari buaian berpusing di sebuah tapak pesta ria atau ‘fun fair’ berhampiran Aeon Jusco Cheras Selatan, dekat sini. -K!ONLINE