PETALING JAYA – Penampakan seorang wanita berbaju putih berjalan secara perlahan dan menunduk seperti sosok hantu ‘The Ring’ dikesan di Transit Aliran Massa (MRT) stesen Pasar Seni semalam.
Menerusi perkongsian video berdurasi 15 saat oleh @atisahira di aplikasi TikTok semalam, dia bertanyakan kepada orang ramai mengenai wanita yang berkelakuan pelik di tempat awam tersebut.
Wanita itu seakan-akan sedang menjiwai watak seperti berlakon teater, namun tiada sebarang prop atau kru di tempat berkenaan.
Tinjaun Kosmo! di ruangan komen mendapati, orang ramai mula bertanya kepada Rapid KL berkenaan ‘identiti’ wanita tersebut yang menimbulkan rasa seram di kawasan itu.
Sementara itu, pihak Rapid KL menjawab pertanyaan orang ramai di ruangan komen TikTok mengenai kejadian pelik tersebut.
“Kami sudah mengesahkan dan harap orang ramai bertenang kerana ini hanyalah ‘content’ (kandungan) sahaja, ada ‘event’ di Pasar Seni semalam jadi mereka ini ialah ‘Orang-Orang Drum Theatre’,” jelas Rapid KL di ruangan komen.
Walaupun begitu, rata-rata orang ramai masih lagi berasa takut dengan reaksi wanita itu yang berjalan secara menunduk sehingga menyebabkan rambutnya menyentuh lantai.
“Kalau tiba-tiba dia angkat kepala lepas itu lari, sumpah saya akan berlari dan baling telefon pada dia, membayangkan sahaja sudah seram,” kata @Sekenit12.
“Saya rasa itu metafora bagaimana orang yang lalu lalang dekat Pasar Seni di mana mereka berjalan dengan sangat cepat tetapi hati mereka mati,” jelas @Ciknab699.
“Apa benda itu? saya risau kalau orang yang ada masalah jantung dengan ibu-ibu mengandung yang jumpa benda-benda macam ini,” ujar @oreoceluph2o.
Sehingga kini, perkongsian tersebut meraih lebih satu juta tontonan dan 135,500 tanda suka di akaun TikTok miliknya. – K! ONLINE