SAO PAULO – Juara lima kali, Brazil akhirnya menempah slot automatik ke kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar selepas merekodkan kemenangan 1-0 ke atas pasukan Colombia pada aksi kelayakan zon Amerika Selatan pagi semalam.
Sebagai rekod, skuad Selecao membuktikan mereka layak dilabel sebagai pasukan gergasi dunia selepas mencatatkan 11 kemenangan dalam 12 aksi kelayakan dengan mengutip 33 mata ketika saingan masih berbaki enam perlawanan.
Pada aksi di Stadium Corinthians itu, skuad kendalian Tite tidak mempunyai masalah untuk mengutip tiga mata berharga hasil jaringan perancang tengah, Lucas Paqueta pada minit ke-72.
Mengulas mengenai jaringan yang dilakukan, Paqueta yang merupakan pemain kelab Ligue 1, Olympique Lyon mengakui bagaikan tidak percaya apabila menjadi wira untuk memastikan pasukan mengesahkan tiket ke Qatar nanti.
“Saya seperti mahu menangis kerana tidak percaya apabila berjaya menjaringkan gol dan lebih penting, ia adalah jaringan yang membawa Brazil ke pentas Piala Dunia 2022 di Qatar.
“Perasaan yang ada pada saya ketika ini agak bercampur baur tetapi pujian juga wajar diberikan kepada barisan pemain lain.
“Jika ditanya mengenai impian saya, sudah tentulah mahu diserap dalam skuad utama yang akan bersaing di Piala Dunia nanti kerana itu adalah harapan buat semua pemain antarabangsa Brazil.
“Apa yang pasti, saya tidak boleh terus mendabik dada dan perlu bekerja keras khususnya di peringkat kelab. Namun, fokus utama kini sudah pasti aksi kelayakan bertemu musuh tradisi, Argentina minggu depan,” kata pemain berusia 24 tahun itu.
– AGENSI