PETALING JAYA – Pelakon Adam Shahz naik berang dan kecewa apabila mengetahui tindakan tidak bertanggungjawab sebuah produksi yang masih meneruskan penggambaran meskipun separuh daripada bilangan kru dan pelakon telah disahkan positif virus Covid-19.
Lebih mengecewakan kata Adam atau nama lengkapnya, Nor Shah Azli Abdol Ghani, produksi tersebut turut memberi amaran kepada pelakon dan kru supaya tidak mendedahkan maklumat tersebut.
“Sudah separuh team positif tapi masih teruskan shoot (penggambaran) ye. Siap warning (beri amaran), artis dan kru jangan berkokok!,” tulis Adam di akaun Facebook miliknya semalam.
Tanpa menyebut nama mana-mana pihak, pelakon berusia 40 tahun itu berkata, tindakan produksi berkenaan secara tidak langsung akan memberi kesan negatif kepada industri seni yang baharu hendak bernafas kembali.
“Saya sendiri sudah lima bulan tidak bekerja kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi apabila industri seni dibenarkan kembali bekerja janganlah kita rosakkan peluang tersebut.
“Sebelum ini ketika tidak dibenarkan bekerja, masing-masing sibuk menjerit mahu industri seni dibuka semula. Selepas dibuka dan dibenarkan bekerja ikutlah segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Bukan untuk produksi sahaja, tetapi kita semua. Andai dijangkiti yang menjadi taruhan adalah nyawa kita sendiri. Jika industri seni ditutup semula kerana segelintir pihak tidak bertanggungjawab kesannya cukup besar, jadi tolonglah jaga SOP,” kata Adam ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Meskipun tidak terlibat dalam produksi terbabit, Adam berasa terpanggil untuk bersuara selepas rakan pelakon dan kru diugut untuk tidak menghebohkan isu tersebut.
Malah, Adam turut mempunyai bukti rakaman suara pihak produksi yang mahu meneruskan penggambaran seperti biasa.
“Saya ada bukti rakaman suara daripada rakan yang dikenali. Pihak produksi berkenaan memberi arahan untuk meneruskan penggambaran selain membuat ugutan kepada pelakon dan kru yang terlibat.
“Saya difahamkan mereka yang sudah dijangkiti memang telah dikuarantin, tetapi yang menjadi kontak rapat diminta terus bekerja sedangkan mereka berasa takut untuk memasuki ke set penggambaran,” ujar Adam.
Tambah pelakon yang mula popular menerusi drama Juvana itu, dia tidak gentar untuk bersuara tentang isu berkenaan kerana sedar akan tanggungjawab selaku anak seni.
Malah, bersyukur kerana semua produksi yang menggunakan khidmatnya sebagai pelakon cukup mematuhi SOP.
“Saya tidak kisah andai selepas ini produksi takut hendak ambil saya berlakon kerana terlalu lantang, sebab semua produksi yang saya bekerja mengikut SOP yang ditetapkan. Tiada sebarang masalah.
“Sebagai pelakon dan kru kita perlu berada dalam keadaan selamat ketika bekerja,” ujarnya yang baharu sahaja menamatkan penggambaran drama bersiri berjudul Sewa untuk siaran RTM.
Justeru, Adam berharap pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap produksi tersebut.
“Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap produksi tidak bertanggungjawab itu. Saya tidak mahu kerana segelintir yang bersikap demikian, seluruh industri seni akan menerima kesannya,” ujarnya lagi. – K! ONLINE