KUALA SELANGOR – Sebanyak 2,000 ikan siakap diagihkan secara percuma kepada penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di sini, hari ini.
Selain Puncak Alam, pengagihan ‘ikan tular’ kepada lebih 700 penerima itu turut melibatkan lima kampung pedalaman di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli berkata, sumbangan itu bertujuan memberi peluang dan membantu penduduk berpendapatan rendah mendapatkan ikan berkenaan secara percuma.
Katanya, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram memperuntukkan kos berjumlah RM20,000 untuk membeli siakap secara borong.
“Semua penerima turut termasuk mereka yang dipilih secara rawak dan dihubungi untuk mendapatkan ikan tersebut.
“Pengagihan itu dilaksanakan para sukarelawan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya ketika ditemui pada program itu hari ini.
Terdahulu, beliau meninjau pengagihan 1,000 ikan berkenaan selama dua jam di Bandar Puncak Alam, di sini. -K! ONLINE