KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Lembah Klang berjaya ditumpaskan selepas tertangkapnya tiga individu di Jalan Yew dan Taman Desa Petaling pada Selasa lalu.
Operasi kira-kira pukul 7.10 malam itu telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.
Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 34 hingga 55 tahun yang terdiri daripada dua lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing yang merupakan isteri kepada suspek kedua yang ditangkap.
“Serbuan pertama dilakukan di hadapan sebuah kedai di Jalan Yew, Pudu dan berjaya menahan seorang lelaki termasuk merampas dadah jenis methamphetamine seberat 254 gram (g) bersama wang tunai berjumlah RM200.
“Sementara serbuan seterusnya dilakukan berhampiran lokasi sama yang membawa kepada penahanan suspek kedua. Polis turut merampas dadah jenis sama seberat 10g bersama wang tunai berjumlah RM247 dan sebuah kereta jenis Peugeot,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, susulan penahanan kedua-dua suspek, polis telah membuat satu lagi serbuan di sebuah kondominium di Taman Desa Petaling.
“Kita telah merampas dadah jenis methamphetamine dan ketamin dengan anggaran berat 1.61 kilogram (kg) serta wang tunai berjumlah RM5,980.
“Siasatan awal mendapati, premis tersebut dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah dan telah disewa selama sebulan oleh salah seorang suspek dengan bayaran sewa RM1,200 sebulan.
“Kesemua dadah yang dirampas bernilai RM82,314 sementara nilai sitaan wang tunai RM6,427 manakala rampasan kenderaan RM25,000 menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM113,741,” ujarnya.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu lalu hingga Selasa depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis percaya dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek, berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi sindiket ini yang telah aktif sejak tiga bulan lalu.- K! ONLINE