fbpx

Sijil kematian saksi kes rasuah Guan Eng dikemuka di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Terowong dasar laut di Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Sijil kematian Pengarah Urusan Kumpulan Ewein Bhd., Datuk Ewe Swee Kheng yang ditemukan maut selepas dilaporkan terjatuh dari sebuah kondominium mewah di Pulau Pinang bulan lalu, dikemukakan di Mahkamah Seksyen di sini hari ini.

Saksi pendakwaan ke-15 itu sepatutnya dipanggil memberi keterangan pada 29 November ini dalam perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut dan jalan-jalan utama di negeri itu.

Sijil kematian dan perakuan di bawah Seksyen 90A(a) Akta Keterangan 1950 itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan ditandakan sebagai bahan kes.

Dokumen berkenaan dikemukakan melalui keterangan saksi pendakwaan ke-10, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syed Muhammad Fadzli Syed Hussin pada sesi pemeriksaan utama.

Swee Kheng, 53, pernah ditahan reman oleh SPRM pada Januari 2018 lalu bagi membantu siasatan kes terowong dasar laut Pulau Pinang.

Ujar Syed Muhammad Fadzli, dokumen itu antara lain menyatakan waktu dan tarikh kematian pada pukul 5.37 pagi, 5 Oktober lalu dan lokasi kematian di The Palazzo, Jalan Kelawei, Pulau Pinang manakala sebab kematian ialah kecederaan berganda akibat jatuh daripada tempat yang tinggi.

Ujarnya, beliau diarah oleh pegawai penyiasat kes untuk mengambil sijil kematian bertarikh 13 Oktober lalu dan perakuan tersebut daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Saksi berkata, surat permohonan untuk mendapatkan sijil kematian dihantar pada 20 Oktober lalu dan menerima maklum balas daripada pihak JPN melalui surat bertarikh 22 Oktober.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo memaklumkan, pengemukaan sijil kematian dan perakuan tersebut sebagai eksibit tidak dibantah oleh pembelaan.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI