SEBAGAI seorang mahasiswa, masa Patrick Sheck di kampus banyak dihabiskan untuk menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan diberikan pensyarah.
Justeru, penuntut di Bowling Green State University, Ohio, Amerika Syarikat (AS) itu tidak mempunyai cukup masa untuk membeli makanan tengah hari.
Rentetan itu, dia memilih menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan dari salah sebuah restoran dalam kampus tersebut.
Uniknya, makanan yang dipesan Sheck tidak dihantar oleh pemandu kereta atau penunggang motosikal, sebaliknya tugas berkenaan dilakukan oleh robot beroda enam.
“Saya sangat teruja melihat robot ini melakukan tugasnya. Saya menggunakan perkhidmatan ini sekurang-kurangnya empat kali seminggu, terutamanya apabila sibuk.
“Robot ini hantar makanan tengah hari saya tepat pada masanya,” ujarnya sambil memberitahu, setiap penghantaran dia dikenakan caj AS$1.99 (RM8.30).
Kebanyakan kampus di sekitar AS kini mula menggunakan perkhidmatan robot kecil setinggi 0.8 meter sebagai penghantar makanan.
Robot yang mampu memuatkan empat piza bersaiz besar itu turut diguna pakai di kaki lima beberapa bandar di sekitar AS dan United Kingdom.
Sebelum ini, robot berkenaan hanya diuji bagi kegunaan di masa depan, tetapi pandemik Covid-19 telah mempercepatkan proses menggunakannya dalam membantu kehidupan harian manusia.
Syarikat pembangun robot penghantaran itu, Starship Technologies (Starship) memberitahu, kekurangan buruh selain peningkatan permintaan penghantaran ketika pandemik telah mempercepatkan penggunaan teknologi berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alastair Westgarth berkata, pihaknya mendapati, permintaan penggunaan robot penghantaran amat menggalakkan.
“Permintaan terhadap robot ini sentiasa ada. Namun, penggunaan dipercepatkan kesan pandemik Covid-19,” ujarnya sambil memaklumkan, syarikatnya berjaya membuat lebih dua juta penghantaran.
Ketika ini, Starship mempunyai lebih 1,000 robot penghantaran berbanding 250 pada 2019.
Syarikat berkenaan bakal menambah beratus-ratus robot tidak lama lagi.
Starship menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan di 20 buah kampus sekitar AS. Ia turut beroperasi di kaki lima Milton Keynes, England, California (AS) dan Tallinn (Estonia).
Reka bentuk robot penghantaran adalah berbeza kerana ada yang empat roda dan enam roda. Secara amnya, robot-robot itu dilengkapi kamera, sensor dan sistem kedudukan global (GPS).
Robot yang beroperasi di kaki lima pula dibekalkan laser pengimbas bagi mengesan objek di sekitarnya dan menyeberang jalan secara automatik.Ia mampu bergerak pada kelajuan 5 kilometer sejam.
Robot tersebut juga boleh dikawal menerusi alat kawalan jauh.
Bagaimanapun, para pengendali alat kawalan jauh memberitahu, mereka jarang menekan brek atau mengemudi robot itu meskipun di kawasan yang ada banyak halangan.
Apabila robot penghantaran tiba di destinasi, pelanggan perlu menaip kod yang tertera pada telefon pintar bagi membuka penutup sebelum mengambil makanan mereka.
Bagaimanapun, robot penghantaran tersebut mempunyai beberapa kelemahan yang mengehadkan penggunaannya buat masa ini.
Satu kelemahan dikesan adalah kebergantungan kepada tenaga elektrik, jadi pengendali perlu kerap mengecasnya.
Robot tersebut juga bergerak sangat perlahan dalam radius kecil berdasarkan peta yang ditetapkan.
Ia juga tidak cukup fleksibel seperti manusia. Misalnya, pelanggan tidak boleh meminta robot penghantaran meninggalkan makanan di luar rumah.
Sementara itu, beberapa bandar besar yang laluannya sesak dengan pejalan kaki seperti New York, San Francisco dan Beijing (China) tidak mengalu-alukan kehadiran robot itu.
Seorang penganalisis firma perunding Gatner, Bill Ray berkata, robot penghantaran tersebut sangat berguna di kawasan korporat, kampus atau kawasan perumahan baharu yang memiliki kaki lima luas.
“Saya yakin, di kawasan robot ini dapat beroperasi, ia dapat berkembang dengan pantas.
“Terdapat juga laporan tentang masalah robot ini. Antaranya, sekumpulan kanak-kanak telah mengelilingi robot ini bagi mengelirukannya,” terang Ray.
Starship juga pernah menghentikan sementara perkhidmatan robot penghantaran di Universiti Pittsburgh pada 2019 selepas pengguna kerusi roda mengadu ia telah mengganggu laluan mereka.
Bagaimanapun, pihak universiti memberitahu, perkhidmatan berkenaan telah disambung semula selepas Starship menangani isu tersebut.
Syarikat pesaing Starship, Kiwibot yang beribu pejabat di Los Angeles memberitahu, pihaknya memiliki 400 robot penghantaran di kampus dan pusat bandar Miami.
Sebuah lagi syarikat penyedia robot penghantaran, Grubhub baru-baru ini telah bekerjasama dengan pembuat robot dari Rusia, Yandex.
Hasil kerjasama itu, syarikat terbabit berjaya mengeluarkan 50 buah peranti berkenaan bagi kegunaan kampus Ohio State University.
Menurut firma data dan perunding NPD, khidmat pesanan penghantaran di AS melonjak 66 peratus pada suku pertama tahun ini.
Firma berkenaan menjangkakan, permintaan penghantaran akan terus meningkat meskipun selepas berakhirnya pandemik Covid-19 ekoran pelanggan sudah terbiasa dengan perkhidmatan itu.
Sementara itu, cef yang juga pemilik bersama restoran Miss Kim di Michigan, Ji Hye Kim memberitahu, pihaknya sangat bergantung dengan robot penghantaran ketika ruang makan ditutup tahun lalu ekoran Covid-19.
Hye Kim berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan syarikat robot tempatan, Refraction AI ketika pandemik bermula.
“Saya lebih suka robot penghantaran berbanding syarikat penghantaran seperti DoorDash yang mengenakan bayaran tinggi. Ada kalanya, mereka membatalkan penghantaran jika tiada pemandu.
“Syarikat penghantaran juga sering menggabungkan beberapa pesanan setiap perjalanan. Ini menjadikan makanan lewat dihantar dan sejuk. Robot pula hanya ambil satu pesanan pada satu-satu masa,” tegasnya.
Hye Kim menambah, penggunaan robot penghantaran juga membuatkan pelanggan teruja sehingga memuat naik video interaksi mereka dalam media sosial.
“Robot ini sangat comel dan menarik. Ia hanya perlu menghantar makanan kepada pelanggan,” terangnya.
Dia berkata, permintaan penghantaran telah menurun sejak ruang makan dibuka semula baru-baru ini, tetapi robot berkenaan masih menghantar 10 pesanan setiap hari.
Walaupun Hye Kim berjaya mempertahankan kakitangannya sepanjang pandemik, namun restoran-restoran lain sedang bergelut untuk mencari pekerja.
Dalam satu tinjauan baru-baru ini, dianggarkan 75 peratus pemilik restoran di AS memberitahu Persatuan Restoran Kebangsaan bahawa cabaran terbesar mereka adalah mengekalkan pekerja.
Situasi ini menyebabkan banyak restoran di AS menggunakan khidmat robot penghantaran bagi mengisi kekosongan ditinggalkan pekerja berkenaan.
“Tiada restoran di negara ini mempunyai pekerja penghantaran mencukupi,” ujar Ketua Pegawai Digital Domino’s Pizza, Dennis Moleney.
Dia memberitahu, pihaknya telah menggunakan Nuro iaitu syarikat yang menawarkan perkhidmatan pod pandu sendiri setinggi 4 meter pada kelajuan 25km/j di atas jalan raya.
Nuro sedang menguji penghantaran barangan runcit dan makanan di sekitar Houston, Texas; Phoenix (Arizona) dan Mountain View, California.
Jelas Maloney, perkhidmatan Nuro lebih mahal berbanding menggunakan pekerja buat masa ini, tetapi kos akan berkurang apabila teknologi kian canggih.
Kos sebuah robot penghantaran dianggarkan tidak melebih AS$5,000 (RM20,700) sekali gus menjadikannya lebih mudah untuk mengurangkan kos pekerja penghantaran bagi jangka panjang.