VALENCIA – Juara baharu Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP), Fabio Quartararo daripada pasukan Monster Yamaha sedia melupakan ‘igauan ngeri’ dalam usaha mendapatkan semula keputusan terbaik pada perlumbaan Grand Prix (GP) Valencia minggu ini.
Sebagai rekod, pelumba kelahiran Perancis itu bergelut pada saingan Grand Prix (GP) Algarve di Portimao, Portugal minggu lalu selepas gagal menamatkan perlumbaan yang didominasi sepenuhnya oleh Ducati.
Kata Quartararo, jurutera pasukan perlu berusaha sedaya upaya meningkatkan lagi kuasa enjin jika mahu meraih keputusan membanggakan pada perlumbaan terakhir musim ini di Litar Ricardo Tormo, Valencia.
“Saya anggap perlumbaan minggu lalu di GP Algarve sebagai mimpi ngeri kerana jentera kehilangan kuasa untuk memintas pelumba lain sekali gus terpaksa berputih mata.
“Saya harap kesilapan itu dapat diperbaiki. Jurutera perlu memberi lebih tumpuan kepada aspek ketahanan enjin yang menjadi nadi utama jentera untuk menghadapi perlumbaan itu.
“Usaha untuk menakluk GP Valencia tidak semudah yang disangka. Namun, saya berazam untuk memberikan yang terbaik memandangkan ini adalah perlumbaan terakhir musim ini.
“Meskipun sudah bergelar juara dunia tetapi pasukan masih lagi berpeluang untuk mencabar kedudukan Ducati bagi kategori pengeluar kerana jurang mata tidak terlalu ketara,” katanya. – AGENSI