LIVERPOOL – Legenda Liverpool, John Arne Risse meluahkan kebimbangannya terhadap situasi bekas kelabnya itu yang dilihat tidak begitu kuat dalam bersaing merebut gelaran juara Liga Perdana Inggeris berbanding Manchester City dan Chelsea.
Skuad kendalian Jurgen Klopp itu gagal mempertahankan rekod tanpa kalah apabila tewas 2-3 kepada West Ham United menyebabkan mereka tergelincir ke kedudukan keempat, ketinggalan empat mata di belakang Chelsea.
“Saya sedikit resah melihat barisan pemain yang dimiliki pasukan ini. Saya tidak fikir mereka mempunyai pemain gantian yang baik sekiranya kehilangan pemain tonggak.
Seperti musim lalu, mereka kehilangan beberapa pemain tonggak seperti Virgil Van Dijk menyebabkan mereka berdepan kesukaran.
“Saya takut jika memikirkan perkara yang sama seperti musim lalu berulang. Apabila pemain cedera, digantung atau terpaksa bermain dengan kejohanan tertentu, pasukan akan bermasalah dan bertambah perit apabila melibatkan aksi-aksi untuk menentukan kejuaraan.
“Saya tidak fikir Liverpool ketika ini mempunyai kekuatan pasukan setanding dengan Chelsea atau City ketika ini,” katanya.
Musim lalu, Liverpool kehilangan Van Dijk dan Joe Gomez akibat kecederaan lutut serius sebelum mereka terpaksa melupakan khidmat Joel Matip dan Jordan Henderson akibat kecederaan sekali gus menyaksikan mereka gagal mempertahankan gelaran juara.
Kali ini, mereka kehilangan Harvey Elliot akibat patah buku lali dan Thiago Alcantara yang masih bergelut dengan masalah kecergasan serta bakal kehilangan khidmat Mohamed Salah, Sadio Mane dan Naby Keita yang akan menyertai saingan Piala Negara-Negara Afrika Januari nanti.
Jelas Riise, situasi-situasi berkenaan akan memberi kesan besar buat Liverpool dan mungkin akan membuatkan mereka sekali lagi kempunan untuk meraih gelaran juara seperti musim lalu. – AGENSI