GUADALAJARA – Pemain sensasi Estonia, Anett Kontaveit memulakan Kejohanan WTA Final dalam kelas tersendiri selepas menewaskan pilihan kedua, Barbora Krejcikova dengan kemenangan straight-set awal pagi semalam.
Pada aksi di Pusat Tenis Panamerican itu, Kontaveit mempamerkan aksi konsisten untuk melakar kemenangan 6-3, 6-4 ke atas Krejcikova untuk saingan pertama peringkat Kumpulan Teotihuacan.
Meskipun menang straight-set, namun Kontaveit mengakui, nasib lebih memihak kepada dirinya selepas dia diberikan cabaran sengit oleh Krejcikova sepanjang perlawanan tersebut.
“Saya sangat teruja apabila dapat memulakan saingan di Guadalajara dengan langkah kanan. Aksi ini sangat sukar sebenarnya kerana tentangan sengit daripada Krejcikova dalam set kedua.
“Mungkin saya memiliki momentum lebih positif di atas gelanggang selain pukulan servis yang dilakukan dapat menyumbangkan banyak mata untuk aksi kali ini.
“Namun, saya tidak boleh mendabik dada kerana masih ada dua lagi aksi peringkat kumpulan yang perlu ditempuhi,” kata pemain berusia 25 tahun itu.
Sementara itu, Krejcikova yang merupakan juara kejohanan Grand Slam Terbuka Perancis 2021, menjelaskan tidak kecewa walaupun tewas kepada Kontaveit kerana dia masih lagi akan bersaing untuk kategori beregu pada Kejohanan WTA Final ini.
“Saya terima kekalahan dalam acara perseorangan ini dengan hati terbuka. Selepas ini, saya boleh berikan tumpuan sepenuhnya untuk saingan kategori beregu pula,” kata atlet kelahiran Republik Czech itu. – AGENSI