fbpx

Kesusahan Aziz, Memee dibantu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wakil Media Mulia (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Aziz di rumahnya di Jalan Tengah, George Town baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Seorang pengawal keselamatan di Bayan Baru di sini bersama dua orang anaknya terpaksa hidup berpindah-randah kerana kesempitan hidup.

Aziz Ahmad, 58, perlu kuat dan bersemangat untuk membesarkan dua cahaya matanya, Nurul Adila, 16, dan Ammar Haziq, 14, dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan, selepas isterinya, Sharifah Hashim meninggal dunia kerana penyakit kencing manis kira-kira dua tahun lalu.

“Kami pernah tinggal di bangsal, stor dan juga di inap desa pada bulan Ramadan lalu sebelum dipindahkan ke sini (flat di Jalan Tengah) Mei lalu.

“Selain itu, kami juga mendapat baucar barang dapur RM200 sebulan daripada Zakat Pulau Pinang bagi meringankan beban kewangan bulanan.

“Kali ini kami turut menerima sumbangan daripada Program Jelajah Ikhlas anjuran bersama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) membuatkan kami rasa terharu,” kata Aziz.

Dia ditemui di rumahnya selepas menerima bantuan daripada program tersebut yang turut dijayakan bersama oleh Era Foods MY dan Media Mulia Sdn. Bhd. baru-baru ini.

MEMEE (kiri) bersyukur kerana terpilih untuk menerima bantuan bagi mengurangkan beban kehidupan yang dihadapinya.

Selain itu, seorang ibu tunggal, Memee Abdul Aziz turut berkongsi keperitan hidup selepas kehilangan pekerjaan apabila hotel tempat dia bekerja terpaksa menghentikan operasi pada Jun tahun lalu ekoran Covid-19.

Menurut Memee, dia terpaksa menggunakan wang simpanan bagi meneruskan kehidupan selama dua bulan sebelum diterima bekerja di sebuah hotel bajet dengan pendapatan RM500 sebulan pada Ogos lalu.

“Saya buntu seketika ketika hilang pekerjaan, tetapi saya bangkit semula selepas majikan di hotel bajet ini tetap menawarkan pekerjaan kepada saya walaupun situasi ekonomi hotel ini sendiri dalam keadaan tidak menentu akibat pandemik,” katanya.

Dia bersyukur kerana dalam usia yang menjangkau warga emas ini, masih lagi diterima bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri tanpa menyusahkan anaknya, Mohd. Asri Abdullah yang berusia 30 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI