fbpx

Keluarga Untuk Disewa bukan komedi murahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENAMPILKAN barisan pelakon hebat, Keluarga Untuk Disewa menyajikan konsep unik iaitu ‘black comedy’ dalam jalan cerita.

SELEPAS tujuh tahun naskhah Keluarga Untuk Disewa diperam dan ditolak oleh beberapa stesen televisyen, penerbitnya yang juga seorang pelakon, Sharifah Shahora meluahkan rasa syukur apabila karya berkenaan akhirnya akan menemui penonton menerusi TV9.

Sharifah Shahora yang merupakan pemilik syarikat produksi Eleven Field Creative Sdn. Bhd. bersama suaminya, pengarah terkenal, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin menjelaskan, meskipun karya yang ditulis pada 2013 berkenaan ditolak, mereka tidak berputus asa kerana yakin dengan kualitinya.

“Sebenarnya, sinopsis drama Keluarga Untuk Disewa diserahkan kepada rangkaian stesen televisyen Media Prima Berhad pada 2013 dan pernah juga dihantar ke stesen lain tetapi ditolak.

“Selepas beberapa tahun, kami tidak sangka pihak Media Prima menghubungi semula memaklumkan persetujuan untuk menerbitkan karya ini,” ujar Sharifah Shahora.

Sungguhpun begitu, menurut pelakon itu, karya asal Keluarga Untuk Disewa sebenarnya berkonsep serius.

Pihaknya terpaksa membuat rombakan skrip sebanyak 80 peratus apabila stesen televisyen mahukan sebuah karya komedi.

“Skrip asal drama ini berkonsep serius, tetapi pihak stesen televisyen meminta kami mengubah skrip menjadi komedi. Jadi, kami rombak 80 peratus skrip dengan menggunakan khidmat dua penulis skrip iaitu Ellyna Ahmad dan MF Kencana.

“Meskipun berbentuk komedi, kami tidak mahu karya ini nampak seperti murahan. Justeru, kami memilih ‘black comedy’ sebagai konsep drama ini,” jelasnya ketika ditemu bual pada sidang akhbar secara virtual baru-baru ini.

Selaku pengarah, Raja Mukhriz sedar bahawa karya berkonsep ‘black comedy’ bukan sesuatu yang mudah dilakonkan.

Justeru, dia enggan melakukan eksperimen dan mengambil risiko dengan mengambil pelakon baharu yang memiliki pengikut ramai dalam media sosial.

Sebaliknya, dia memilih pelakon yang sudah terbukti boleh berlakon dan mampu membawakan watak dengan baik.

“Drama ini agak berbeza kerana tiada yang menjadi watak utama. Sebaliknya, tujuh karakter adalah sama penting. Mereka saling melengkapi.

“Disebabkan itu, saya memerlukan pelakon berpengalaman yang mampu melontarkan skrip dan lakonan berkesan. Saya tidak boleh bereksperimen kerana dalam drama ini pelakon perlu berlakon dalam lakonan.

“Pelakon perlu faham skrip dan mengolah watak mereka dengan gaya tersendiri. Melihat hasilnya saya amat berpuas hati dengan barisan pelakon, mereka telah memberikan yang terbaik,” ujarnya yang menjadikan karya Guy Ritchie sebagai inspirasi.

TIDAK mengikut trend memilih pelakon yang ada ramai pengikut media sosial, drama Keluarga Untuk Disewa menampilkan gandingan hebat pelakon Adibah Noor, Azhan Rani dan Dynas Mokhtar.

Cabaran

Bercerita tentang cabaran yang dihadapi sepanjang penggambaran yang dilakukan di Melaka dan Besut, Terengganu, produksi drama Keluarga Untuk Disewa terpaksa ditangguhkan beberapa kali lantaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sungguhpun situasi tersebut sedikit sebanyak mengganggu momentum penggambaran, namun menurut salah seorang pelakonnya, Azhan Rani, keadaan tersebut tidak sedikit pun menggugat ‘jiwa’ setiap watak dalam naskhah berkenaan.

“Penggambaran beberapa kali tertangguh akibat PKP sehingga dua bulan lamanya, jadi saya bimbang jiwa watak-watak dalam drama ini hilang momentum. Bagaimanapun, sebaik berada di set penggambaran, secara automatik kami dapat menjiwai watak dengan baik.

“Malah, hubungan kami sudah seperti keluarga. Saya sendiri rapat dengan pelakon cilik, Fifi Laura Olivia sehingga dia memanggil saya dengan gelaran ‘papa’ sampai ke hari ini,” ujarnya.

Demi lakonan yang berkesan, Azhan juga secara sukarela mewarnakan rambutnya menjadi warna ‘blonde’.

Malah dia turut menukar gaya rambut berlainan demi menjayakan watak Alwi dengan berkesan.

“Saya warnakan rambut untuk imej berbeza dalam drama ini. Sebab watak Alwi memang berimej serba tidak kena.

“Secara peribadi, saya sangat terseksa dengan warna rambut itu. Jika diikutkan, saya hanya akan bertahan untuk sebulan lebih. Tetapi tidak jangka PKP bersambung. Jadi, selama hampir enam bulan saya bertahan kerana tidak dibenarkan mewarna rambut hitam.

Drama tersebut yang turut dibintangi Pekin Ibrahim, Adibah Noor, Dynas Mokhtar, Afifah Nasir, Fimie Don dan Fifi Laura sudah mula bersiaran sejak 2 November lalu di slot Diandra TV9.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI