SERDANG- Syarikat pengeluar produk tenusu terkenal negara, Farm Fresh Berhad melancarkan Tabung Didik Kasih Anak Yatim dalam usaha mengumpul dana pendidikan anak-anak kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.
Dana terkumpul itu bakal disalurkan secara terus kepada Yayasan Didik Negara (YDN) seterusnya diagihkan kepada golongan sasar.
Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal berkata, inisiatif itu dilancarkan bagi mengajak rakyat berkongsi rezeki membantu anak-anak kehilangan ibu bapa akibat wabak Covid-19.
“Selepas negara memasuki fasa endemik, banyak pihak memberikan tumpuan memulihkan sektor ekonomi negara, namun ramai terlupa dan terlepas pandang nasib anak-anak malang itu.
“Jadi, kami terpanggil untuk mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama berkongsi rezeki menyumbang dalam tabung yang dilancarkan ini,” katanya pada Konsert Kongsi Kasih Farm Fresh X Gegar Vaganza tadi.
Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md Jidin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohamad Harun.
Pada awal bulan ini, Farm Fresh telah menyumbang dan menyalurkan sejumlah RM500,000 kepada YDN untuk diagihkan kepada murid-murid yang terkesan.
Kempen kutipan dan sumbangan bagi Tabung Didik Kasih Anak Yatim Farm Fresh itu akan berlangsung secara berterusan dan menyasarkan kutipan berjumlah RM3 juta. – K! ONLINE