GENEVA, Switzerland – Sebentuk kerongsang bertatahkan berlian dan batu nilam bersama padanan anting-anting yang pernah menjadi milik Dinasti Romanov dijual dalam satu lelongan Sotheby’s pada harga hampir AS$900,000 (RM3,747,600) kelmarin.
Barang kemas itu milik Grand Duchess Maria Pavlovna the Elder (1854-1920) yang merupakan ibu saudara maharaja terakhir Rusia, Tsar Nicholas II dan diseludup keluar dari Rusia semasa revolusi komunis pada 1917.
Tsar Nicholas II, pemaisurinya dan anak-anak mereka dibunuh dalam revolusi tersebut.
“Barang kemas ini dibida oleh pengumpul dari seluruh dunia yang mahu memilikinya,” kata ketua jualan Sotheby’s, Olivier Wagner dalam satu kenyataan.
Semua permata itu dijual pada harga AS$885,000 (RM3,685,140) termasuk bayaran premium dalam lelongan di Geneva sekali gus jauh lebih tinggi daripada harga anggarannya antara AS$300,000 (RM1,249,200) hingga AS$500,000 (RM2,082,000).
Dihasilkan dalam tahun sekitar 1900, kerongsang itu bertatahkan batu nilam berbentuk bujur seberat 5.36 gram (26.80 karat) yang berasal dari Ceylon, kini Sri Lanka.
Sepasang anting-anting itu mengandungi batu nilam yang setiap satunya memiliki berat 1.33 gram (6.69 karat) dan 1.87 gram (9.36 karat)
Semasa Revolusi Rusia, Maria Pavlovna menyerahkan barang kemasnya kepada diplomat Britain, Albert Henry Stopford untuk tujuan simpanan.
Diplomat tersebut membawa sebanyak 244 barang kemas Maria Pavlovna di dalam sebuah beg dan menuju ke London pada 26 September 1917.
Antaranya termasuk kerongsang dan anting-anting bertatahkan nilam serta Tiara Vladimir yang kini dimiliki oleh Ratu Elizabeth II.
Maria Pavlovna yang kerap digelar sebagai ‘Ratu St.Petersburg’ merupakan antara kerabat diraja Romanov terakhir meninggalkan Rusia apabila beliau melarikan diri pada 1919. Kerabat diraja itu meninggal dunia di Perancis setahun kemudian. – AFP