PETALING JAYA – Seorang ibu berkongsi detik sedih tiga anaknya yang menangis teresak-esak ketika kali pertama bertemu dan memeluk ayah mereka selepas terpisah selama setahun akibat pandemik Covid-19.
Menerusi perkongsian video oleh DoBetter4Malaysia di laman sosial Facebook, anak-anak kepada wanita itu meluru ke arah ayah mereka sambil memeluknya dengan penuh kerinduan.
Berdasarkan video berdurasi 2 minit 52 saat oleh DoBetter4Malaysia, pada mulanya si bapa berlakon sebagai penghantar makanan lalu anak perempuannya berasa janggal dan terus bertanya apabila ayahnya memasuki garaj rumah bersama motosikal.
Ketika kejadian, anaknya terus melihat kelibat lelaki yang menyamar sebagai penghantar makanan dan terus menjerit sambil menangis teresak-esak sambil menjerit perkataan ‘ayah’.
Susulan perkongsian itu, rata-rata orang ramai berkongsi rasa sebak kerana reaksi yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tersebut.
“Tiba-tiba mata saya ini berair, semoga yang berpisah dengan keluarga sepanjang Covid-19 ini dikurniakan rezeki untuk berjumpa keluarga masing-masing,” jelas Mohd Amir.
“Allahuakbar, sedihnya saya harap orang ramai yang menghadapi situasi seperti ini bersabar dan sentiasa berdoa supaya dipermudahkan segala urusan,” ujar Qayyum Omm.
“Satu perasan yang adakalanya tidak di ambil tahu atau di anggap sesuatu yang remeh, bila sudah tiada, baru kita akan terasa,” kata Nur Aini. – K! ONLINE