STOCKHOLM – Penyerang veteran Sweden, Zlatan Ibrahimovic mengakui sudah tidak sabar untuk kembali bersama pasukan itu menjelang saingan kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Georgia dan Sepanyol nanti.
Selepas kembali daripada persaraan dan beraksi dalam dua aksi kelayakan Piala Dunia Mac lalu, Ibrahimovic terpaksa berehat panjang selain melupakan saingan Euro 2020 apabila mengalami kecederaan.
Justeru, dia kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menyumbang tenaga dan tidak kisah berapa banyak minit permainan yang bakal diberikan oleh jurulatih, Janne Andersson.
“Saya rasa sangat gembira untuk kembali berlatih bersama rakan sepasukan. Sangat sukar ketika berdepan kecederaan sebelum ini dan secara jujur, saya belum berada pada kondisi 100 peratus.
“Berhubung aksi di atas padang nanti, saya serahkan semuanya kepada Janne (Andersson) untuk buat keputusan. Saya datang ke sini sebagai salah seorang pemain Sweden,” katanya.
Pada masa sama, pemain berusia 40 tahun itu turut menjelaskan, dia tidak akan memaksa diri sendiri untuk memberikan aksi maksimum kerana menganggap tahap kecergasannya masih belum 100 peratus.
“Saya tidak boleh paksa diri sendiri selepas kecederaan tetapi semua orang pasti mahu bermain. Apabila semakin berusia, saya lebih memahami keadaan diri sendiri,” ujar Ibrahimovic.
– AGENSI