BARCELONA – Ketua jurulatih baharu Barcelona, Xavi berjanji akan mengembalikan zaman kegemilangan gergasi Sepanyol itu selepas menandatangani kontrak di hadapan lebih 10,000 penyokong di Camp Nou kelmarin.
The Catalans tidak pernah bergelar juara La Liga sejak 2018/2019 dan lebih malang apabila kini menduduki tangga kesembilan dengan perbezaan 11 mata di belakang pendahulu semasa, Real Sociedad.
Justeru, Xavi, 41, yang dilantik sehingga 2024 menggantikan tempat Ronald Koeman yang dipecat baru-baru ini, melaungkan keyakinan beliau mampu mengubah situasi semasa kelab berkenaan.
“Kita perlu menang setiap perlawanan kerana kita adalah Barcelona. Saya akan cuba sedaya upaya untuk tidak mengecewakan anda semua (para penyokong).
“Hanya satu perkara saya mahu anda tahu iaitu Barcelona adalah kelab terbaik di dunia. Jadi, kami akan berusaha keras bagi memastikan kelab ini kembali meraih kejayaan.
“Sekarang adalah fasa sukar buat kelab dan anda semua (para penyokong) tetapi kita perlu sentiasa memikirkan perkara-perkara yang baik mengenai Barcelona,” kata Xavi yang pernah menjulang lapan gelaran La Liga bersama kelab itu.
Sebagai rekod, Xavi adalah pengendali kelima termasuk Ernesto Valverde, Quique Setien dan Koeman dilantik Barcelona sejak kali terakhir pasukan itu menjulang trofi Liga Juara-Juara di bawah bimbingan Luis Enrique pada 2015.
Aksi pertama Xavi sebagai ‘bos baharu’ Barcelona adalah musuh setempat, Espanyol menjelang aksi La Liga di Camp Nou pada 20 November ini. – AGENSI