JITRA – Perbuatan khianat seorang lelaki membaling batu ke arah kenderaan yang melalui Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Malau di sini sejak Ahad lalu berakhir apabila dia ditahan di jejambat Bandar Darulaman di sini hari ini.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan ketika dia dipercayai mahu mengulangi perbuatan sama di lokasi tersebut pada pukul 1.45 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya mengesan seorang lelaki menunggang motosikal jenis Honda Wave di atas jejambat seorang diri.
Berita berkaitan: Pemandu hampir terbabas dibaling batu
Katanya, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di atas jejambat dari Jalan Wang Tepus menghala Bandar Darulaman.
“Pemerhatian mendapati lelaki itu turun dari motosikal dan mengambil sesuatu daripada raga motosikal.
“Anggota melihat gerak-geri suspek dan mengesyaki dia cuba melakukan sekali lagi perbuatan membaling batu ke arah kenderaan di lebuh raya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini hari ini.
Polis kemudian menahan suspek dan menemui dua ketul batu di dalam raga motosikalnya.
Hasil soal siasat, suspek mendakwa melakukan perbuatan itu kerana rasa tidak puas hati dengan pemandu lori yang sering menghimpit kenderaannya sebelum ini.
“Suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki tujuh rekod kes dadah dan jenayah,” ujarnya.
Setakat ini, polis menerima dua laporan kenderaan rosak akibat terkena batu yang disyaki dibaling suspek manakala pihak PLUS pula menerima sebanyak tiga laporan berkaitan kejadian sama. – K! ONLINE.