Oleh MOHD. FITRIE MUHAMAD
dan MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memutuskan tiada ganjaran diberikan kepada atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).
Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, atlet tersebut dikatakan bakal menerima habuan daripada pihak lain dan tiada kena mengena dengan peruntukan daripada kerajaan.
“Saya akan berhubung dengan Ziyad bagi berbincang mengenai ganjaran itu. Ada pihak lain yang ingin memberi tawaran kepada Ziyad kerana melihat kejayaannya pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Ogos lalu.
“Apa bentuk ganjaran yang bakal diterima Ziyad tidak molek saya umumkan di sini kecuali dia sendiri yang mahu maklumkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) di KBS, Putrajaya semalam.
Sementara itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin memberitahu, pihaknya memperkenalkan Surat Aku Janji sebagai langkah mengelak kejadian lewat tiba di ‘Call Room’ seperti dihadapi Ziyad pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak berulang pada masa akan datang.
Sukan Para Remaja Asia 2021 (AYPG2021) di Bahrain pada 2 hingga 6 Disember depan akan menjadi kejohanan sulung yang mengguna pakai Surat Aku Janji berkenaan.
“Kenapa jurulatih luar boleh jadi profesional dan kenapa mereka boleh datang tepat pada masanya? Kami mahu pastikan setiap jurulatih ambil serius dan pastinya tanggungjawab akan jadi lebih berat. Secara tidak langsung jurulatih juga akan lebih profesional.
“Inilah yang kita mahu buat. Walaupun hubungan jurulatih dan atlet memang sudah ada, kamu (jurulatih) kena lebih tegas dan ada jurang. Toleransi itu memang ada tetapi kadang-kadang terlebih manja. Kita tidak mahu ia terjadi,” kata Megat D Shahriman selepas sidang akhbar Sukan Para Remaja Asia 2021 di Kuala Lumpur semalam.
Dalam Surat Aku Janji itu, pegawai pasukan akan terikat dengan janji dalam merancang, menyelaras, mengawal dan akan melaporkan perkembangan semasa secara harian.
Menerusi surat akuan itu juga, pegawai terbabit akan terikat dengan tindakan perundangan mengikut Akta Pembangunan Sukan (pindaan) 2018.