fbpx

Terima kasih yang tertunda buat Mamat Khalid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan penulis bersama Allahyarham Mamat Khalid.

TERLEWAT lebih dua minggu, namun apa lagi yang hendak diharapkan oleh waktu. Sudah tidak banyak yang hendak dikejar atau diburu dengan menyebut nama Mamat Khalid ketika ini.

Cepat atau lambat, semua telah tinggal sebagai kenangan. Beliau telah pergi dan tak akan kembali walau dipuja dan ditangisi berkali-kali.

Selain keluarga terdekat, isteri dan anak-anak yang penulis pasti mereka akan terus menanggung rindu tanpa pernah terkambus, seluruh kenalan, sahabat, kru, pelakon atau sesiapa sahaja yang pernah mengenali sepotong nama Mamat Khalid secara dekat, pasti masih sukar menemukan noktah bahawa pencipta jenama Kampung Pisang itu telah tiada.

Sebagai orang media yang tempoh kariernya mungkin hampir ‘sebaya’ dengan kelana Mamat saat mula duduk di kerusi perfileman pada 2003, penulis bukannya terlalu akrab dengan lelaki kelahiran Ipoh, Perak itu, cuma setiap masa ada sahaja kisah Mamat hendak dikarang menjadi artikel.

Sedikit imbas kembali, dua tahun pertama bergelar wartawan, sewaktu di lokasi penggambaran filem Paloh, sekitar tahun 2002 di Ipoh (di negeri lahir dan bersemadinya Mamat). Di situlah penulis buat pertama kali mendengar betapa lucunya kerja Mamat.

Ketika itu, pelakon Hasnul Rahmat yang ditemu bual mengenai Paloh bercerita tentang seronoknya menyudahkan penggambaran filem komedi Lang Buana, arahan Mamat.Ketika itu, Hasnul belum lagi menjadi Zack dalam Rock.

“Kelakar dan gila, Suzana kena tengok,” kata Hasnul sebelum kemudian beralih tentang perkara lain.

Sebelum itu, nama Mamat sebenarnya sudah disedari penulis menerusi telefilem Rombongan Che Kiah ke Sukan Komanwel, cuma belum pernah bertemu atau mewawancara beliau secara bersemuka.

Satu perkara tentang Mamat, mendengar judul dan sedikit sinopsis yang diceritakannya secara lisan setahun atau dua tahun sebelum terbit filemnya, sesiapa sahaja atau penulis sendiri mudah menyimpan cita-cita untuk menjadi antara orang pertama yang mahu menyaksikan kerjanya – mahu lihat apa lagi kegilaan, apa lagi yang ‘dibelasah’, apa lagi idea kreatif Mamat kali ini.

Sebagai pembikin, sebagaimana terjenamanya ‘Kampung Pisang’, Mamat juga sebenarnya seorang pencipta budaya. Sama seperti Coke yang sudah tidak perlu banyak usaha sebagai pelaris. Muncullah apa sahaja perisa baharu, Coke tetap jadi pilihan.

Begitu juga dengan Mamat, dalam pengkaryaan dan dunia sinema, lelaki yang gemar berbaju Melayu setiap kali Festival Filem Malaysia itu juga seorang pencetus budaya pop dan seni dalam setiap karyanya.

Biarpun adakala dikecam mengarut, itulah Mamat.

Tanpa Mamat, tak mungkin pelajar filem boleh melihat gaya noir dalam filem Melayu moden seperti menerusi Kala Malam Bulan Mengambang. Tanpa Mamat, tak ada Yeh Sekupang dalam Hantu Kak Limah atau

Barkoba dalam 18 Puasa. Terima kasih Mamat Khalid!-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI