KOTA BHARU – Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra mencemar duli membantu 12 buah keluarga mangsa kejadian kebakaran rumah dan lot kedai di Jalan Sultanah Zainab di sini hari ini.
Tengku Muhammad Faiz Petra hadir bertemu dan menyampaikan bantuan kewangan kepada penduduk di pekarangan Masjid Pakistan di sini bersama isteri, Cik Puan Sofie Louise Johansson.
Sumbangan itu sebagai keprihatinan baginda dalam membantu golongan memerlukan semasa mereka ditimpa musibah.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Zulkifle Ab. Rahman.
Semua mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu kini berteduh di Masjid Pakistan di sini buat sementara waktu.
Sementara itu, Zulkifle berkata, Maik sudah menyalurkan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada beberapa keluarga yang terlibat dalam kejadian itu dan sedang mengenal pasti mangsa lain yang memerlukan. – K! ONLINE.