PETALING JAYA – Pelakon Mawar Rashid tersentuh hati dengan tindakan suaminya yang melakukan kejutan sempena ulang tahun perkahwinan keempat mereka semalam di kediaman baharu berharga hampir RM2 juta.
Menurut Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shahputri Wan Abdul Rashid, dia bersyukur kerana akhirnya dapat memiliki sebuah rumah idaman selepas berhempas pulas bekerja dan mengumpul wang selama ini.
“Sumpah saya memang tak sangka akhirnya dapat beli rumah idaman ini. Lama dah saya impikan. Saya selalu beritahu suami (Raf) untuk ada rumah tersebut satu hari nanti.
“Kalau ikutkan, saya tahu pasal rumah itu. Cuma saya tak sangka yang Raf akan buat surprise (kejutan) sempena ulang tahun keempat kami di rumah tersebut.
“Bukan setahun dua kami kumpul wang dan bekerja keras untuk itu. Empat tahun juga selepas bernikah kami mula menabung perlahan-lahan,” katanya kepada Kosmo! sebentar tadi.
Tambah pelakon TQ Captain itu lagi, tiada apa yang dapat menggambarkan perasaan syukur kerana impiannya dikabulkan Tuhan.
“Bukan senang nak ada aset pada usia muda. Kerja keras siang malam, bila dapat sesuatu yang kita idam dengan hasil usaha sendiri, lain betul rasanya,” katanya.
Terdahulu menerusi hantaran video dalam Instagram, Mawar, 26, dilihat teruja selepas diberi kejutan oleh suaminya di sebuah rumah jenis banglo tiga tingkat terletak di ibu kota.
Kejutan tersebut dilakukan Raf yang turut menghadiahkan sejambak bunga kepadanya.
Menurut Mawar, momen tersebut mengingatkan dirinya sewaktu dilamar pada 2017 dalam suasana penuh romantis apabila Raf melutut sambil menghulurkan sebentuk cincin kepadanya.
“Terima kasih buat surprise untuk Anje (nama panggilan Mawar). Tak pernah terfikir abang akan buat kejutan macam ini.
“Sangat bermakna. Ada hikmah rumah yang dulu bukan rezeki kita, Anje lagi gembira dapat beli rumah ini sebab hasil titik peluh kita berdua.
“Kita saja faham betapa berusaha kerasnya kita, kerja siang malam, jatuh dan bangun, nak bahagikan masa dan perkara lain lagi. Tapi syukur alhamdulillah impian kita dah tercapai nak ada sebuah rumah idaman,” tulisnya.
Menurut Mawar lagi, dia dan suami merancang untuk berpindah dan menetap di kediaman baharu mereka yang terletak di ibu kota selewat-lewatnya menjelang Ramadan tahun depan.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Raden Muhammad, 2 , dan Raden Seri Rosabella Cinta yang kini berusia 10 bulan. – K! ONLINE