TELUK INTAN – Pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap dibuka semula apabila 41 penduduk terpaksa berpindah selepas kediaman mereka dinaiki air, hari ini.
Penduduk Kampung Batu 7 ½, Lorong Mesra, Changkat Jong itu berpindah ke PPS berkenaan yang dibuka pada pukul 11 pagi tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata, penduduk dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air setinggi 0.3 meter.
Katanya, mereka yang terlibat terdiri daripada lapan lelaki, lapan wanita serta 15 kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan.
“Banjir kilat berlaku akibat limpahan air Sungai Sungkai Mati dan Sungai Sungkai Hidup selain hujan lebat petang semalam.
“Pemantauan berkala dijalankan di lokasi bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya.
PPS MPTI Langkap ditutup pada pukul 3 petang semalam, selepas 21 mangsa dibenarkan pulang ke rumah selepas banjir surut sepenuhnya.
Kesemua mereka merupakan penduduk yang terjejas akibat banjir di Lorong Kedah, Lorong Sidang Osman dan Kampung Baru Batu 8.- K! ONLINE