fbpx

Penjawat awam buat laporan palsu elak bayar denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila. -Foto IHSAN IPD LABUAN.

LABUAN – Seorang penjawat awam ditahan ekoran tindakannya membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun di Jalan Tun Mustapha pada 3 November lalu.

Lelaki berusia 27 tahun berkenaan melakukan perkara itu bagi mengelak daripada dikenakan denda tinggi berikutan kehilangan kad pengenalan diri MyKad buat kali ketiga.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, selepas pihaknya meneliti terdapat percanggahan dalam keterangan laporan polis yang dibuat, lelaki berkenaan akhirnya mengaku membuat laporan palsu.

“Siasatan awal mendapati suspek yang bekerja di sebuah agensi kerajaan awalnya mendakwa disamun dua lelaki menaiki motosikal.

“Kejadian dikatakan berlaku sewaktu suspek berjalan kaki menyeberangi jalan di Jalan Tun Mustapha berhampiran pasaraya Milimewa menuju ke bangunan Paragon.

“Suspek melaporkan beg silang miliknya yang mengandungi dompet, MyKad, lesen memandu kelas D, kad ATM dan wang tunai sebanyak RM50 serta telefon bimbit jenama Huawei 7 hilang disamun.

“Bagaimanapun, kita mengesan berlaku percanggahan antara keterangan laporan polis yang dibuat ketika rakaman percakapan ke atas suspek selepas meneliti hasil keterangan yang diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan suspek akhirnya membuat pengakuan bahawa laporan polis yang dibuat adalah tidak benar.

Menurutnya, dompet milik suspek sebenarnya tercicir ketika keluar berhibur di salah sebuah premis kafe di kawasan pekan Jati pada hari kejadian.

“Suspek bakal berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu memberi maklumat palsu.

“Lelaki terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI