PETALING JAYA – Penduduk di negeri pantai timur diminta untuk lebih berwaspada dan peka dengan amaran hujan berterusan bahaya yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) .
MetMalaysia melalui satu kenyataan hari ini berkata, kawasan yang dijangka dilanda hujan berterusan ialah Kelantan dan Terengganu.
Amaran hujan berterusan bahaya dikeluarkan bagi kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan.
“Kawasan tersebut dikategorikan kawasan merah yang dijangka akan menerima hujan yang sangat lebat dan berterusan sepanjang hari.
“Bagi kawasan Jeli di Kelantan, ia dikategorikan kawasan jingga yang dijangka menerima hujan lebat berterusan sepanjang hari,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, di Terengganu, kawasan terlibat ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang yang dikategorikan kawasan kuning dengan keadaan hujan berterusan dijangka berlaku hari ini. – K! ONLINE