PETALING JAYA – Aktiviti berkhemah dan berkelah menjadi acara wajib bagi setiap keluarga dalam meluangkan masa bersama terutamanya pada hujung minggu.
Selepas sektor pelancongan dan riadah dibenarkan oleh kerajaan, ramai dilihat mengambil peluang berkelah di kawasan pantai, air terjun dan kawasan riadah lain dengan mendirikan khemah sebagai tempat berlindung.
Menerusi satu muat naik di laman Facebook @Muhammad Al-Fathoni, dia berkongsi tips pemasangan kain rentang sisi berbumbung yang jimat dan mudah secara sendiri.
“Untuk keselesaan ketika bersantai, selain menggunakan khemah yang dibeli, kita boleh ‘DIY’ membuat kain rentang sisi berbumbung pada kereta dan caranya senang serta jimat kos tapi cukup untuk lindung dari panas juga hujan.
“Antara peralatan yang diperlukan ialah cangkuk penyangkut, kain rentang, tali dan tiang,” ciapnya.
Tambahnya lagi, pastikan cangkuk penyangkut dan kain rentang yang dibeli berkualiti agar mampu menahan cuaca panas dan hujan.
Selain itu, dia juga berkongsi cara pemasangan yang betul menerusi kapsyen yang disertakan pada gambar-gambar yang dimuat naik di ciapannya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna Facebook dilihat mula bersemangat untuk membuat khemah sendiri selepas mendapatkan tips yang berguna menerusi perkongsian tersebut.
“Selepas ini jika pergi ke pantai boleh DIY sendiri khemah macam ini, tak panas,” komen Nurul Asyikin
“Menarik dan jimat kos. Hujung minggu ni boleh cuba buat dan paling penting selesa nak duduk santai sambil berbaring tanpa kena panas,” kata Muhd Rizman. – K! ONLINE