KOTA BHARU – Pemandu kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan memotong di garisan berkembar, dua bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Nazre Che Mustafa, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memandu sebuah MPV jenis Toyota Alphard dengan cara memotong di garisan berkembar sehingga tindakan itu membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Kesalahan itu dilakukan olehnya di Jalan Bukit Marak menghala ke Binjai, berhampiran jambatan Gong Dermin di sini kira-kira pukul 5.20 petang pada 26 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Siti Aisyah Abdul Manah manakala tertuduh diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin selain 8 Disember depan untuk serahan dokumen kes. – K! ONLINE.