PUTRAJAYA – Malaysia memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Indonesia hari ini yang merangkumi kerjasama dalam dua bidang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU pertama ditandatangani adalah Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan dan yang kedua Kerjasama dan Bantuan Bersama Dalam Perkara Kastam.
“Pemeteraian kedua-dua MoU ini satu lagi tanda kepada tahap hubungan baik yang telah lama terjalin di antara Malaysia dan Indonesia.
“Sebanyak lima MoU dan Perjanjian juga akan dimeterai oleh sektor swasta kedua-dua negara. Pelaburan yang memasuki Indonesia melalui MoU dan Perjanjian ini bernilai AS$3.1 bilion (RM12.8 bilion),” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar antaranya dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di Istana Bogor, Indonesia hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia dan Indonesia akan terus berkerjasama rapat dalam menangani cabaran-cabaran yang telah timbul akibat Covid-19 terutamanya dalam bidang kesihatan.
Pada masa sama, katanya, beliau dan rakan sejawatnya itu bersetuju supaya Malaysia dan Indonesia melaksanakan satu koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Aturan Koridor Perjalanan atau Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL).
“Cadangannya, sebagai permulaan, inisiatif koridor perjalanan ini akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta melalui jalan udara, kemudian boleh ditambah destinasi-destinasi lain yang telah menunjukkan risiko yang rendah.
“Ia akan memberi keutamaan kepada mereka yang telah divaksinasi penuh, bagi kategori pengembara untuk tujuan rasmi, perniagaan, perubatan dan kemanusiaan,” katanya.
Ujarnya, koridor perjalanan itu juga akan melibatkan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi Covid-19 dan standard keputusan ujian saringan PCR Covid-19.
“Inisiatif ini tentunya akan memudahkan pergerakan semula rakyat kedua-dua negara. Pembukaan semula sempadan secara kaedah yang selamat adalah penting dalam mengimbangi di antara keperluan membuka dan membangunkan semula ekonomi dan menjaga aspek keselamatan dan kawalan kesihatan awam.
“Saya dan Bapak Presiden berharap inisiatif ini dapat dimuktamadkan dan mula dilaksanakan pada awal tahun 2022,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, beliau telah memberi jaminan kepada Jokowi bahawa kerajaan Malaysia akan terus memastikan kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia tetap dipelihara.
“Contohnya, pada tahun lepas, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) telah diluluskan pindaannya, yang menjamin keselesaan penginapan pekerja, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi juga untuk rakyat asing.
“Saya dan Bapak Presiden seterusnya mengambil maklum tentang kemajuan proses bagi memuktamadkan MoU Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia di antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia,” katanya.
Katanya, Malaysia juga berharap agar Program Rekalibrasi yang telah dilanjutkan oleh kerajaan sehingga penghujung tahun ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warganegara Indonesia di Malaysia yang ingin pulang secara sukarela atau untuk bekerja secara sah di Malaysia. – K! ONLINE