PETALING JAYA – Pernah melalui episod duka suatu ketika dahulu, hati selebriti versatil Zulin Aziz kembali dihiasi dengan kehadiran kekasih hatinya, Farhan Norzaini yang disifatkan sebagai lelaki bertanggungjawab menjaga dirinya sepanjang tempoh perkenalan mereka.
Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz, 32, berkongsi hal tersebut dalam satu hantaran Instagram sempena ulang tahun kelahiran ke-34 Farhan semalam.
Tutur pelakon drama Penjara Janji itu, dia bertuah kerana dipertemukan dengan lelaki yang tidak pernah berkira dalam pelbagai hal seperti tenaga dan wang ringgit.
“Dia sangat bertanggungjawab dengan keluarga dan sentiasa bekerja keras demi bahagiakan kami. Dia tegas, bagus juga sebab saya seorang yang degil namun sangat penyayang.
“Farhan juga menjaga saya sedayanya dan tidak pernah berkira soal kudrat dan duit. Ya Allah, limpahkan rezeki buatnya,” katanya dalam satu entri Instagram.
Dalam pada itu, Zulin turut menitipkan doa agar Tuhan permudahkan segala urusan antaranya dengan Farhan pada masa akan datang.
“Saya doakan semoga awak sentiasa dalam lindungan Allah, diberi kebahagiaan dan kejayaan dunia akhirat.
“Semoga Allah permudahkan urusan kita. Doakan kami ya. Selamat hari jadi cinta,” ujarnya.
Untuk rekod, sekitar Mac lalu Zulin mengejutkan ramai apabila berkongsi secara rasmi foto Farhan dalam satu hantaran Instagram.
Sebelum ini, pelantun lagu Dan Ketika Itu pernah mengumumkan majlis perkahwinan dengan seorang jejaka misteri yang sepatutnya berlangsung sekitar 2018 tidak kesampaian.
Sehingga kini, Zulin masih tidak berkongsi lanjut tentang punca pembatalan hari bahagia tersebut. – K! ONLINE