KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, sebilangan besar dana syarikat itu telah diseleweng dan disalurkan kepada beberapa entiti yang memberi faedah kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low).
Mohd. Hazem Abdul Rahman, 49, berkata, berdasarkan dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah, salah urus tadbir tersebut telah menjerumuskan 1MDB kepada tanggungan liabiliti kewangan yang tidak perlu.
Ketika ditanya peguam Wan Aizuddin Wan Mohammad, saksi pendakwaan ke-10 itu menyatakan kegagalan urus tadbir ketika beliau berjawatan CEO, pada satu peringkat tertentu telah menghancurkan syarikat tersebut.
Bagaimanapun, Mohd. Hazem menyatakan, beliau menerima arahan secara tetap daripada Jho Low namun sama ada arahan itu diberikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, hanya boleh disahkan oleh ahli perniagaan itu yang kini dalam buruan.
Semalam, mahkamah diberitahu, pengurusan 1MDB mendapat arahan daripada Jho Low yang disifatkan oleh pihak pendakwaan sebagai ‘alter ego’ kepada Najib.
Beliau memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri.
Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – K! ONLINE